Friday, June 11, 2010

Modul pembelajaran MSU berkesan lahir graduan bermutu

PENGIKTIRAFAN Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Accreditation Service for International Colleges (ASIC) United Kingdom dan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st century organization (ABEST21) Jepun membuktikan program pengajian ditawarkan Management & Science University (MSU), bertaraf antarabangsa. Presidennya, Prof Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata tahap kebolehpasaran lulusan universiti itu juga terbukti kerana melalui kajian Pengesanan Graduan MSU menunjukkan sejak 2001, 95 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.
“Sehingga kini, MSU berjaya melahirkan 5,004 graduan yang berkhidmat dalam pelbagai sektor, termasuk teknologi maklumat, pembuatan, kesihatan, perbankan, hospitaliti dan perniagaan.
“Penerapan enam pengalaman dalam modul pembelajaran di MSU, iaitu khidmat komuniti, persaingan, pendedahan antarabangsa, pengembangan pelajar dan kerjaya serta latihan industri dan penyeliaan adalah tunjang kejayaan kami selama ini,” katanya pada Majlis Konvokesyen MSU ke-7 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mohd Shukri berkata, kombinasi pengalaman pembelajaran itu mampu membentuk kemahiran insaniah pelajar yang berdaya saing dan berinovasi dalam memenuhi kehendak pasaran. “Pencapaian pelajar dalam kemahiran insaniah dinilai melalui sistem Kemahiran Kebolehpasaran Graduan (GeMS). Melaluinya, mereka dinilai dari segi pembabitan dalam aktiviti kokurikulum, termasuk bakti siswa, pengurusan acara dan sukan. “Saya yakin, melalui sistem ini pelajar mempunyai nilai tambah yang menjadi kelebihan ketika ditemu duga kerana majikan dapat mengetahui pembabitan pelajar dalam kokurikulum, bukan sekadar akademik,” katanya. Mengenai perpindahan ke kampus baru sejak bulan lalu, beliau yakin ia mampu meningkatkan lagi kecemerlangan MSU dalam bidang pembelajaran dan penyelidikan. Katanya, pelajar menikmati pelbagai kemudahan pembelajaran bertaraf antarabangsa di kampus baru yang mampu menampung 10,000 satu masa itu, antaranya makmal, perpustakaan, menara sains, blok akademik dan dewan canselor. “MSU juga meletak sasaran mengambil 2,000 pelajar antarabangsa bagi mencapai hasrat menjadi universiti global,” katanya. Mohd Shukri menjelaskan MSU turut menawarkan program perubatan di kampus baru, selain pembinaan hospital dijangka siap 2012, yang mampu menghasilkan doktor berkualiti. Beliau berkata, universiti itu dapat mengambil lebih ramai pelajar mengikuti program perubatan kerana pengajian bidang berkenaan di kampus pesisir MSU di Bangalore, India, tetap diteruskan. “Ini membolehkan MSU melahirkan lebih ramai pelajar perubatan, iaitu 300 orang setahun,” katanya. Beliau berkata, pelajar universiti itu juga berpeluang menyambung pelajaran lebih tinggi di luar negara menerusi program pertukaran pelajar dengan lebih 40 universiti luar negara.

sumber:Berita Harian

No comments:

Post a Comment